Saturday, March 9, 2013

Info PTPTN & Bayaran Balik PTPTN 2013


PTPTN ataupun Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional adalah salah satu penaja pinjaman yang cukup sinonim dalam nenawarkan pinjaman kepada kebanyakan penuntut universiti mahupun kolej yang memilih untuk meggunakan kaedah pinjaman dalam pembiayaan pendidikan masing-masing. PTPTN yang mula beroperasi pada 1 November 1997 ini telah ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional 1997 (Akta 566) yang bekuatkuasa pada  1 Julai 1997. Ianya bertujuan untuk:
1) Menguruskan pembiayaan untuk tujuan pendidikan tinggi dan memungut bayaran balik pinjaman.

2) Menyediakan skim simpanan dan mengurus deposit untuk tujuan pendidikan tinggi.
3) Melaksanakan fungsi lain yang diberikan kepada  PTPTN oleh mana-mana undang-undang bertulis.
Bermula pada 1 Mac 2007, pelajar-pelajar yang ditawarkan bukan sahaja terdiri daripada pelajar dari pengajian sepenuh masa tetapi juga layak kepada pelajar yang mengikuti pengajian secara jarak jauh dan separuh masa di mana-mana IPTA bagi penuntut Diploma, Ijazah Pertama, Sarjana, Doktor Falsafah dan Kursus Profesional.. Pemberian jumlah pembiayaan pula adalah berbeza mengikut jenis institusi (IPTA/IPTS/Politeknik/Kolej Komuniti, etc) untuk setiap peringkat pengajian dan jurusan pengajian serta mengikut pendapatan (gaji bersih) ibu bapa / penjaga setiap pelajar.

Bermula 1 Januari 2012 pula, tawaran pertukaran pinjaman sedia ada (3% atau 5%) kepada pembiayaan Ujrah 1% layak diterima oleh peminjam-peminjam yang masih mempunyai baki pinjaman semasa pada tarikh permohonan dibuat kecuali bagi peminjam yang telah dikenakan tindakan saman ataupun baki pinjaman semasa kurang daripada RM1,000. Kaedah baru dengan pengenaan Ujrah sebanyak 1% setahun atas kadar rata (flate rate) adalah menggantikan kaedah pinjaman terdahulu dengan pengenaan kos pentadbiran 3% dan 5% setahun atas baki berkurangan (reducing balance).

Menerusi Bajet 2013 iaitu pembentangan mengenai insentif diskaun 20% dan 10% ke atas bayaran balik pembiayaan PTPTN, terdapat dua insentif yang ditawarkan kepada peminjam PTPTN sebagai inisiatif mengurangkan kos pembelajaran mereka di samping menggalakkan peminjam-peminjam PTPTN ini menjelaskan hutang mereka, iaitu:
1)  insentif diskaun 20% kepada peminjam yang menyelesaikan hutang sekali gus dalam tempoh setahun bermula 1 Oktober 2012 sehingga 30 September 2013 ke atas baki hutang semasa.
2)  insentif diskaun 10% kepada peminjam yang membuat baki ansuran bayaran balik secara konsisten selama 12 bulan berturut-turut mengikut jadual mulai 1 Oktober 2012.

*********************************************************************************
Selesai mukadimah mengenai PTPTN ini, masuk kepada isi utama entri kali ini iaitu siapa, bila, bagaimana dan di mana nak bayar balik pinjaman PTPTN ini.. Setiap penuntut IPT yang merupakan peminjam PTPTN hendaklah membayar balik keseluruhan jumlah pinjaman yang diterima semasa pengajian. Bagi peminjam PTPTN yang berjaya menamatkan pengajiannya, bayaran balik boleh dibuat secara ansuran sebanyak RM125 bulanan. Bagi pelajar yang menarik diri atau gagal dalam pengajian (dismissed), surat tersebut akan dikeluarkan dan dihantar kepada palajar berkenaan dengan serta-merta (bayaran sekaligus dikenakan).


Surat tuntutan bayaran balik pinjaman akan dihantar  kepada pelajar dalam tempoh enam bulan selepas mereka menamatkan pengajian. Sekiranya pelajar telah bertukar alamat atau tidak menerima sebarang surat tuntutan tersebut, boleh menghubungi Unit Penguatkuasan dan Kutipan Balik, Bahagian Bahasiswa (03-8870 6359/ 6360/ 6356/ 6379) atau mengemaskini alamat surat-menyurat dengan melengkapkan borang kemas kini alamat dan emel kepada enforcement@mohe.gov.my. Sehubungan itu, pelajar adalah bertanggungjawab mengemaskini alamat surat-menyurat pada semester akhir pengajian untuk memudahkan urusan penghantaran surat-menyurat dibuat.


Menurut info portal rasmi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan sumber berkaitan, bayaran balik PTPTN boleh dibuat menerusi:
1) Kaunter Bahagian Biasiswa KPT (Putrajaya)
    - Aras 2, No. 2, Menara 2, Jalan P5/6, Presint 5
2) Bank Islam (Kaunter BIMB/ Perbankan Internet/ Mesin ATM)
   - contoh slip: http://www.mohe.gov.my/portal/images/penajaan/doc/contoh_bayaran_kaunter_bimb.pdf
   - caj perkhidmatan RM0.50
3) Pejabat Pos (Kaunter Pejabat Pos/ Pos-Online/ Wang Pos/Kiriman Wang
   - contoh slip: http://www.mohe.gov.my/portal/images/penajaan/doc/contoh_bayaran_pos_akaun39.pdf
   - caj perkhidmatan RM1.70
4) Bank Draft/ Cek (cek persendirian tidak diterima)
5) Arahan Tetap kepada Bank (Bank Instruction)
6) Arahan Potongan Gaji
7) FPX (CIMB, MAYBANK, RHB BANK, PUBLIC BANK & HONG LEONG BANK)
8) CIMB Bank (CIMB Clicks/ CIMB Shoppe)
9) Pejabat PTPTN, rujuk laman sesawang untuk setiap cawangan http://www.ptptn.gov.my/web/guest/cawangan

Pejabat PTPTN Cawangan UTC Kuala Lumpur
Waktu Operasi
Lot T3-9, Tingkat 3, UTC Pudu Sentral
Jalan Pudu, 55100 Kuala Lumpur

No. Tel : 03 - 2026 2192 / 03 – 2026 2193
Isnin - Jumaat
8.30 pagi - 10.00 malam
(Waktu Rehat Jumaat : 12.15 t/h - 2.45 pm)

Sabtu - Ahad
8.30 pagi - 5.00 petang
* UTC, PUDU SENTRAL berdekatan stesen LRT Plaza Rakyat, dibuka 7 hari
seminggu dan tidak dikenakan caj perkhidmatan

Walaubagaimanapun, penangguhan bayaran balik PTPTN adalah dibenarkan sekiranya pelajar menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi secara sepenuh masa. Dokumen sokongan yang diperlukan untuk tujuan kelulusan adalah:-
1) Salinan kad matrik yang disahkan
2) Salinan surat tawaran daripada IPT yang disahkan
3) Pengesahan dari pusat pengajian tinggi (pelajar yang sedang menuntut)
- Peminjam dibenarkan membuat penangguhan bayaran balik sepanjang tempoh pengajian dengan syarat membayar ansuran bulanan pertama sebanyak RM125

Akhir sekali, Surat Pelepasan Hutang (SPH) akan dikeluarkan selepas keseluruhan bayaran balik PTPTN dijelaskan. SPH ini akan dikeluarkan selepas pembayaran dilakukan di kaunter PTPTN secara tunai atau bankdraf. Bagi pembayaran bukan tunai (cek/ kiriman wang/ etc), SPH akan dikeluarkan selepas cek berkenaan dijelaskan. Bagi pembayaran melalui online atau agen, SPH akan dikeluarkan dalam tempoh 14 hari bekerja selepas bayaran diterima oleh PTPTN.